Pengasuh enggan serah anak




WANCHAK menunjukkan gambar Muhammad Ashraf sambil diperhatikan Syed Othman 
di Pasir Gudang semalam.


JOHOR BAHRU - "Sudah macam-macam usaha saya buat, saya mahu anak saya semula, saya sangat rindu padanya."
Demikian luahan seorang ibu warga Singapura, Wanchak Ibrahim, 43, yang mendakwa anaknya tidak dipulangkan setelah diserahkan untuk dijaga oleh sebuah keluarga di Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Pasir Gudang di sini, sembilan bulan lalu.
Ketika diserahkan pada 20 Mac tahun lalu, anaknya, Muhammad Ashraf Abdullah berusia 11 bulan.
Muhammad Ashraf merupakan anak Wanchak bersama suami pertama dan ketika ini dia turut mempunyai dua orang lagi anak hasil perkahwinan dengan suami kedua.
Sebelum ini, Wanchak menyewa sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang dekat sini, iaitu lima kilometer dari Kampung Sentosa, Cahaya Baru.
Wanchak yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura mengambil keputusan menghantar anaknya ke rumah tersebut setelah diperkenalkan oleh adik angkatnya.
Selain itu, langkah itu dibuat kerana dia perlu keluar rumah seawal pukul 8 pagi manakala pulang pada pukul 12 tengah malam.
Wanchak menetap di Kampung Pasir Puteh kerana bapanya merupakan warga Malaysia dan ia memudahkannya melawat ahli keluarga.
Menurutnya, anaknya itu diserahkan kepada keluarga terbabit dengan bayaran RM10 sehari dan akan diambil semula pada hujung minggu.
"Namun, apabila saya cuba menghubungi salah seorang ahli keluarga terbabit, saya tidak dapat mendengar suara anak saya bahkan tiga empat hari kemudian panggilan telefonnya tidak lagi dijawab menyebabkan seminggu kemudian saya pergi ke rumah terbabit tetapi tidak dibenarkan masuk berjumpa dengan anak saya.
"Jika masuk ke dalam rumahnya, dia ugut akan membuat laporan polis selain memberitahu anak saya telah diserahkan kepada orang lain," katanya kepada pemberita di Pejabat Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Pasir Gudang di sini semalam.


Designed By Asal Pelik