Saman Celcom, TRI Terhadap Tajudin Dirunding


Saman Celcom, TRI Terhadap Tajudin Dirunding


PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini  membenarkan permohonan bekas Pengerusi  Eksekutif Malaysian Airlines System Bhd. (MAS),  Tan Sri Tajudin Ramli untuk menangguhkan  rayuannya dalam dua pertikaian saman  melibatkan Celcom (M) Bhd. dan Technology  Resources Industries Bhd.(TRI).
Peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin  memohon penangguhan bagi membolehkan  rundingan lanjut dijalankan sama ada  kemungkinan pertikaian saman itu diselesaikan di  luar mahkamah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Jeffrey Tan  Kok Wha yang bersidang bersama Datuk Clement  Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali menangguhkan  rayuan sehingga 9 April depan.
Jika rundingan itu gagal mencapai kata sepakat  bagi jalan penyelesaian di luar mahkamah dalam  tempoh lapan minggu akan datang, prosiding  rayuan akan diteruskan.

Tajudin merayu terhadap keputusan Mahkamah  Tinggi Kuala Lumpur yang menolak  permohonannya bagi membatalkan saman yang  dikemukakan oleh Celcom dan TRI terhadap  beliau.
Celcom merupakan anak syarikat milik penuh  Telekom Malaysia Bhd. manakala TRI merupakan  anak syarikat milik penuh Celcom.

Celcom dan TRI menyaman Tajudin serta  beberapa bekas pengarah kedua-dua syarikat  tersebut atas dakwaan konspirasi dan melanggar  tugas-tugas fidusiari berhubung pembayaran  pampasan bernilai jutaan ringgit kepada Deutsche  Telekom.

Saman itu bagi membolehkan Celcom dan TRI  mendapatkan kembali pampasan sebanyak  AS$177 juta yang dibayar kepada Deutsche  Telekom ketika kedua-dua syarikat itu di bawah  kuasa Tajudin dan pengarah-pengarah  berkenaan.


Designed By Asal Pelik