Syria bedil Homs lagi


IMEJ yang dihantar oleh Jawatankuasa Kerjasama Tempatan di Syria semalam menunjukkan ramai penduduk Syria menghadiri pengebumian mangsa-mangsa yang mati dibunuh tentera Syria di Maart al-Noman, Idlib, Syria.


BEIRUT - Tentera Syria semalam mengebom kawasan kejiranan kediaman di pusat bandar Homs di negara itu buat hari kelima berturut-turut yang telah mengorbankan berpuluh-puluh orang.

Para aktivis yang menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar Al-Assad berkata, ia merupakan tindakan terakhir rejim itu untuk menawan kembali kawasan yang dikawal oleh para penentang.
Keganasan tersebut berlaku apabila rejim Bashar semakin dipinggirkan Barat ekoran keganasan pihak tentera ke atas para penentangnya.

Lima negara Eropah dan enam negara Teluk Arab telah menarik keluar duta masing-masing dari Damsyik, Syria manakala Amerika Syarikat (AS) telah menutup kedutaannya di Syria.

Namun, Bashar telah mendapat sokongan daripada Rusia kelmarin.
Sokongan itu ditunjukkan dengan lawatan Menteri Luar Rusia, Sergey Sergey Lavrov dan ketua perisikan negara, Fradkov Mikhail melawat negara tersebut.

Dalam perbincangan di Damsyik, Rusia mendesak satu penyelesaian terhadap krisis Syria yang melibatkan pembaharuan rejim Bashar dan dialog dengan pihak pembangkang tetapi bukan meminta Bashar meletakkan jawatan.
Bashar menyatakan Syria bertekad untuk mengadakan dialog kebangsaan dengan pembangkang dan tokoh-tokoh bebas.

Menurut Bashar, beliau bersedia untuk bekerjasama dalam usaha-usaha bagi meningkatkan kestabilan di Syria, lapor agensi berita SANA.


Designed By Asal Pelik