Wawa mengemis cinta Sam ?



"KITA bercinta kan?" usik Shaheizy Sam kepada Wawa Zainal ketika Kosmo! meminta kedua-dua pelakon itu bergambar bersama-sama ketika kebetulan ditemui di majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Chai Metrowealth Pictures (MIG) 2011/12 di Hotel Sunway Lagoon Resort, Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini.
Usikan itu ada maknanya. Ketika kedua-duanya ditarik ke tepi, mereka sudah mengagak ada maksud tersirat untuk menggandingkan mereka berdua dalam satu sesi fotografi ringkas ketika acara sedang berlangsung.
Mana tidaknya, beberapa minggu sebelum ini Wawa, bintang filem Sumpahan Kum Kum yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh tanah air digosipkan sedang bercinta dengan pelakon terkenal serba boleh, Sam.
Belum apa-apa lagi, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 20, yang masih hijau dalam arena perfileman tanah air sudah berani mencetuskan ruang kontroversinya sendiri.
Sebelum khabar angin mengenai hubungannya dan Sam bertiup, kisahnya yang tanpa segan silu bergambar seksi sudah kencang melanda industri tanah air.
Bagi Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 28, perkara itu sekadar gosip yang dicanangkan tanpa bertanya pucuk pangkalnya daripada sumber yang sahih iaitu empunya diri.
"Wawa yang dimaksudkan itu bukan Wawa Zainal, itu adalah bekas teman wanita saya Tengku Putri Najwa yang telah saya kenali pada tahun 2005 tapi kami berpisah dua tahun berikutnya. Mungkin orang terkeliru dengan nama itu," jelas Sam.
Walau sudah tiada sebarang hubungan antaranya dan Wawa, mereka masih rapat antara keluarga masing-masing. Sam bagaimanapun tidak menafikan dia terkejut dengan khabar angin yang sama sekali tidak tepat itu.
"Saya pada mula-mulanya terkejut dengan gosip yang mengaitkan saya dengan Wawa. Kenapa tak tanya dulu sebelum nak menulis? Tapi, saya tidak salahkan sesiapa. Itu kerja mereka sebagai seorang penulis.
"Saya harap peminat faham situasi begini dan perkara itu cuma khabar angin. Lainlah kalau digosipkan dengan Yana Shamsudin, sebab dia memang pelakon paling rapat dengan saya," tambah pelakon yang sedang sibuk mempromosikan filem sekuel terbaharunya, Adnan Sempit 2.
AKTRES muda ini sudah muncul dengan kontroversinya sendiri.


Wawa terpikat
Komen Sam sudah terang lagi bersuluh menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan pelakon baharu MIG, Wawa Zainal. Namun apa pula penjelasan daripada pihak Wawa sendiri?
"Saya memang ingin bercinta dengannya (Sam), tapi cuma dalam filem saja," luncur laju butir bicaranya bersulam tawa.
Wawa yang baru selesai menjalani penggambaran filem keenamnya, Budak Pailang bersama Aeril Zafril, Zalif Sidek dan Epie Raja Lawak mengagumi Sam sekadar seorang ikon seni dan tidak lebih daripada itu.
"Sam adalah idola dan ikon bagi Wawa. Saya meminati kehebatan dan bakat dia dan tipu kalau saya katakan saya bukan salah seorang peminatnya.
"Wawa mengenali dia (Sam) sebagai seorang artis yang berjaya dan sebahagian daripada keluarga MIG.
"Kalau nak katakan kami rapat, memang ya! Tapi kami berjumpa pun ketika dalam majlis saja," katanya yang turut terkejut apabila tiba-tiba namanya dikaitkan dengan Sam.
Jelas Wawa lanjut, Wawa yang dimaksudkan nyata sekali tiada kena mengena dengannya cuma kebetulan punyai nama yang sama.
"Rasanya Wawa yang dimaksudkan adalah seorang wanita yang pernah punyai hubungan dengan Sam suatu ketika dahulu dan orang sudah salah anggap bahawa Wawa itu adalah saya," tegas Wawa.
Gambar seksi
Orang yang berdendam atau membenci seseorang akan mudah mengambil peluang ketika kita terleka sejenak. Situasi itu yang berlaku kepada Wawa apabila gambar yang dirakamnya melalui telefon bimbit terlepas ke tangan insan yang tidak bertanggungjawab.
Kata Wawa, ketika gambarnya yang mendedahkan sebahagian besar atas dadanya tersebar meluas di Internet, telefon bimbitnya hilang ketika di set penggambaran drama Klik.
"Memang Wawa tiada niat untuk merakam gambar sedemikian malah tidak terlintas pun untuk menjaja apatah lagi mengaibkan diri sendiri dengan gambar sebegitu.
"Selepas beberapa hari telefon bimbit Wawa hilang, gambar itu sudah mula disebarkan dalam Internet," katanya yang memaafkan individu yang berkenaan dan memohon maaf atas kurang sensitifnya dia berpakaian ketika itu.
Kini, sebagai seorang selebriti yang pasti akan dipandang masyarakat dari setiap sisi dan inci, Wawa berjanji akan lebih berhati-hati dalam semua segi.
"Segala aspek kena jaga sebagai public figure, cara bercakap, berpakaian dan segalanya, kalau dulu Wawa suka hati pakai apa saja tapi sekarang kena lebih berhati-hati.
"Wawa nak naik dengan produk bukan kerana kontroversi atau kisah sensasi," ujar gadis berasal dari Lahat Datu, Sabah itu lagi.
Gadis tomboi
Filem Budak Pailang, sebuah kisah yang hanya dibintangi oleh seorang saja pelakon wanita sedikit sebanyak menduga Wawa sebagai seorang aktres muda.
"Sebenarnya berlakon dengan dikelilingi oleh sekelompok lelaki tidak begitu mengganggu hasil kerja Wawa cuma mungkin sedikit tertekan pada mulanya kerana hanya saya seorang wanita ketika dalam set penggambaran.
"Tapi kalau dibandingkan keluarga Wawa pun, ramai juga saudara-mara lelaki berbanding perempuan dan masa kecil-kecil dulu saya tidak feminin sangat.
SAM mengakui pernah bercinta dengan Tengku Putri Najwa.


"Senang cakap saya seorang tomboi dan sukakan aktiviti lasak macam lelaki," cerita Wawa yang merupakan anak kelapan daripada 11 beradik.
Filem Budak Pailang memaksa Wawa yang memegang peranan She berubah daripada seorang gadis yang baik kepada individu nakal, jahat dan bersifat kasar.
Selain filem Budak Pailang, dia kini sedang dalam proses penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia TV3 yang dijangka akan ditayangkan pada bulan pertengahan bulan Februari nanti, Cinta Buat Emelda.
Drama arahan Ismail Bob Hashim itu turut dibarisi pelakon Fizo Omar, Almy Nadia dan Diana Amir.



Designed By Asal Pelik