59 projek mampu tarik pelaburan RM139.3b

NAJIB disambut penduduk untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee sempena lawatan ke Johor Bahru, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

NAJIB disambut penduduk untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee sempena lawatan ke Johor Bahru, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
 
68,000 peluang kerja di Iskandar Malaysia, Tenggara Johor

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pelaksanaan 27 projek permulaan (EPP) dan 32 projek kualiti kehidupan di Iskandar Malaysia dan Tenggara Johor mulai tahun ini hingga 2020, yang dijangka menarik pelaburan berjumlah RM139.3 bilion.

Perdana Menteri berkata, projek itu bakal mewujudkan 68,000 peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia dan Tenggara Johor yang jelas menunjukkan komitmen kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat selari hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

“Semua agenda transformasi yang dirancang kerajaan jauh lebih baik daripada reformasi. Menjelang 2020, bidang pendidikan, pelancongan dan minyak serta gas membabitkan 27 EPP itu akan menyumbang sebanyak RM25.57 bilion kepada jumlah pendapatan negara kasar (PNK).

“Tiga aspek meningkatkan mutu kehidupan iaitu pencegahan jenayah, rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam bandar serta rejuvenasi (pemberian nafas baru) dan pemulihan bandar raya akan dilaksanakan menerusi 32 projek membabitkan perbelanjaan RM24.5 bilion dengan RM14.2 bilion atau 58 peratus dibiayai dana awam, manakala baki RM10.3 bilion atau 42 peratus lagi disumbangkan swasta.

“Rejuvenasi dan pemulihan bandar raya bertujuan memulihkan penampilan bandar raya Johor Bahru agar kembali segar, termasuk pemuliharaan dan pengindahan Sungai Segget serta saliran dalam bandar, penambahbaikan pesisir pantai serta pembersihan dan pemeliharaan suasana dalam bandar, bangunan, keselamatan dan keselesaan pejalan kaki,” katanya berucap merasmikan Hari Terbuka dan Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia di PERSADA Johor di sini, semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Najib berkata, penggubalan program itu dilaksanakan Makmal Koridor dan Bandaraya bermula September hingga November tahun lalu membabitkan pelbagai idea dan isu dibincangkan oleh wakil kerajaan Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan peserta utama dalam kegiatan ekonomi Iskandar Malaysia di bawah kelolaan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Menjelas lanjut, Perdana Menteri berkata, EPP turut membabitkan lapan projek permulaan untuk pendidikan, termasuk memantapkan penyertaan sekolah dan institusi pengajian tinggi swasta dan antarabangsa, meningkatkan mutu dan jumlah kakitangan akademik serta menjadikan Iskandar Malaysia sebagai pusat kecemerlangan untuk inovasi serta penyelidikan dan pembangunan.


Designed By Asal Pelik