Askar AS bunuh 17 rakyat Afghanistan didakwa


GAMBAR 11 Mac 2012 menunjukkan Anar Gul di sisi mayat cucunya yang didakwa ditembak oleh Bales di wilayah Kandahar, Afhganistan.


Afghanistan - Seorang askar Amerika Syarikat (AS) berpangkat Staf Sarjan, Robert Bales didakwa kelmarin kerana melakukan 17 pembunuhan beramai-ramai di Afghanistan, kata pihak tentera AS.
Bales, 38, didakwa berjalan keluar dari sebuah pangkalan tentera AS dengan membawa sepucuk pistol dan raifal M-4 lengkap dengan pelancar grenad menjelang subuh pada 11 Mac lalu sebelum mengamuk dan membunuh empat lelaki, empat wanita, dua budak lelaki serta sembilan kanak-kanak perempuan selain membakar sebahagian mayat mereka.

Usia kanak-kanak berkenaan tidak didedahkan tentera AS.
Menurut kertas pertuduhan, Bales didakwa menembak seorang budak perempuan di kepala dan seorang kanak-kanak lelaki di bahagian paha, seorang lelaki di leher dan seorang wanita di dada serta kemaluan.
Serangan tersebut berlaku di daerah Panjwai, wilayah Kandahar yang merupakan tempat kelahiran kumpulan Taliban.

Seorang jurucakap tentera AS di Afghanistan, Kolonel Gary Kolb berkata, bapa kepada dua anak dari Tasik Tapps, Washington itu dimaklumkan berhubung tuduhan terhadapnya menjelang tengah hari di penjara tentera tempat dia ditahan di Fort Leavenworth, Kansas.

Menurut Kolb, hukuman maksimum bagi jenayah pembunuhan terancang adalah hukuman mati, dipecat daripada angkatan tentera, penurunan pangkat dan kehilangan gaji serta elaun kerja.
Hukuman minimum mandatori pula adalah penjara seumur hidup dengan peluang mendapat parol.
Pihak tentera AS masih kurang jelas berhubung motif Bales melakukan pembunuhan tersebut tetapi tragedi berkenaan mencetuskan perdebatan hangat mengenai tahap kesihatan mental anggota tentera AS yang berkhidmat di Afghanistan.

Peguam Bales, John Henry Browne kelmarin memberitahu, tahap kesihatan mental anak guamnya merupakan isu penting dalam kes tersebut.
Bales juga didapati minum arak beberapa jam sebelum kejadian amuk tersebut sekali gus melanggar larangan pengambilan alkohol di zon perang oleh tentera AS.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar-pakar perundangan menyatakan, Bales berkemungkinan besar akan terselamat daripada hukuman mati.

Menurut mereka, pihak tentera tidak pernah melaksanakan hukuman itu sejak 1961 apabila seorang pengendali peluru Tentera Darat AS dihukum gantung kerana merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun di Austria. - AGENSI

Sumber


Designed By Asal Pelik