Big Ben ditukar nama hargai Ratu Elizabeth?


Big Ben ditukar nama hargai Ratu Elizabeth?
LONDON - Ahli-ahli Parlimen Britain mahu menara paling terkenal di London, malah dikenali seluruh dunia sebagai "Big Ben", ditukar nama bagi menghargai Ratu Elizabeth II sempena sambutan jubli intan baginda.

Tahun ini genap 60 tahun Ratu Elizabeth menaiki takhta.
Sehubungan itu, ahli-ahli politik negara itu percaya bahawa menamakan St. Stephen's Tower menggunakan nama Ratu Elizabeth II adalah satu bentuk penghargaan ke atas baginda.

"Tidak banyak raja dan permaisuri yang pernah berkhidmat buat satu jangka masa yang lama," kata Ahli Parlimen Konservatif, Tobias Ellwood, yang kini mengetuai kempen untuk menukar nama menara jam itu, yang dibina pada 1858.

Menara itu terletak di kawasan bangunan Parlimen Britain.

Dipetik CNN, beliau berkata: "Hanya dua ratu yang meraikan jubli intan mereka iaitu Ratu Elizabeth II dan Ratu Victoria."
"Satu lagi menara di Istana Westminster dinamakan sempena Ratu Victoria; menara jam ini dikenali dengan banyak panggilan - Big Ben, St Stephen's Tower ataupun hanya sebagai Clock Tower, tetapi tiada nama rasmi.

"Sesuatu yang istimewa jika kita memberi penghormatan ke atas khidmat baginda kepada negara selama ini," katanya lagi.

Ellwood berkata, usahanya mendapat sokongan ahli-ahli politik dari semua parti dan berharap rang undang-undang ke arah itu akan mendapat sokongan.

Sambutan jubli intan akan diadakan Jun ini.

Sumber


Designed By Asal Pelik