Kera bawa lari pakaian pelajar


kera
KUALA TEMBELING, PAHANG - Kemunculan ratusan kera liar yang mengganggu ketenteraman pelajar asrama dan pengusaha dewan makan di sebuah sekolah menengah, di sini, seolah-olah tiada kesudahan.

Seorang pekerja dewan makan asrama, Norehan Othman berkata, gangguan haiwan liar itu sudah lama berlaku dan ­pihaknya juga sudah meng­ajukan masalah itu kepada Jabataan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah mengambil langkah menangkap haiwan terbabit lebih sebulan lalu dan dianggarkan lebih 40 ekor berjaya ditangkap.

“Bagaimanapun masalah itu terus berulang apabila ­ratusan kera liar berterusan mengganggu pekerja dewan makan di sini dan ­juga pelajar perempuan di asrama.

“Pakaian yang dijemur pelajar akan dilarikan haiwan terbabit termasuklah pakaian kami. Bukan itu sahaja, kehadiran kumpulan kera ini menyebabkan pelbagai kerosakan apabila ia menceroboh masuk ke dalam bahagian dapur dewan makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Norehan berkata, kumpulan kera itu akan melarikan pelbagai barangan seperti pinggan, cawan dan merosakkan kemudahan di dewan makan seperti memecahkan lampu.

Katanya, keadaan akan bersepah apabila bahagian dapur diselongkar haiwan terbabit, malah stok simpanan makanan seperti roti, buah-buahan dan sebagainya juga dilarikan.

Rakannya, Siti Nur Aini Zulkifli berkata, kumpulan kera liar itu akan datang mengganggu asrama dan dewan makan pada awal pagi, tengah hari dan petang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada lagi insiden pelajar atau pekerja di situ diserang atau digigit haiwan berkenaan.

“Cuma kami rimas dengan kumpulan kera ini yang terlalu banyak dan merosakkan harta benda di sini.

“Sebelum berlakunya kejadian lebih buruk, kami sangat mengharapkan pihak berkenaan tampil semula melakukan tindakan sepatutnya supaya keselamatan petugas dewan makan, pelajar dan harta benda di sini lebih terjamin,” katanya.


Designed By Asal Pelik