Obama marah China kurangkan eksport mineral


GAMBAR fail menunjukkan sebuah lombong nadir bumi di daerah Nancheng, China pada 29 Oktober 2010.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama kelmarin memberi amaran kepada China bahawa Washington telah mengemukakan aduan ke Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) berhubung dasar Beijing mengehadkan eksport mineral nadir bumi ke Eropah dan AS.

AS yang bekerjasama dengan Kesatuan Eropah dan Jepun kelmarin meminta WTO supaya mengatur rundingan dengan China berhubung isu berkenaan.
Rundingan tersebut antara lain, bertujuan untuk memberi tekanan ke atas China agar menamatkan sekatan eksport mineral nadir bumi.

Mineral nadir bumi merupakan bahan utama dalam pembuatan pelbagai produk konsumer termasuk bateri kereta hibrid, televisyen skrin rata, senjata, telefon pintar, lensa kamera dan motor kecil yang digunakan untuk menaik dan menurunkan cermin kenderaan.

"Jika China membiarkan pasaran nadir bumi menetukan hala tuju sendiri, kami tidak akan membantah," kata Obama ketika berucap di White House.
"Namun, dasar China sekarang menghalang perkara itu berlaku. Ia juga bercanggah dengan peraturan WTO yang dipersetujui sendiri oleh China," tambahnya.

Menurut Obama, China diberi masa sepuluh hari untuk memberikan jawapan manakala rundingan dengan AS, EU dan Jepun berhubung isu tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Jika persetujuan mengenainya gagal dicapai, AS , EU dan Jepun boleh meminta panel WTO menyiasat kuota eksport mineral nadir bumi yang dilaksanakan oleh China.

Sejak beberapa tahun lalu, China mengurangkan eksport mineral nadir bumi dengan alasan bagi memenuhi permintaan dalam negara dan untuk menjaga alam sekitar.
AS cuma memiliki sebuah syarikat pengeluar mineral nadir bumi iaitu Molycorp Inc yang beribu pejabat di Colorado.

China pula mempunyai 17 mineral nadir bumi dan menyalurkan 90 peratus bekalan global mineral berkenaan.
Selain China dan AS, terdapat lombong mineral nadir bumi di Australia manakala cadangan membuka lombong berkenaan turut dibuat di Malaysia.


Designed By Asal Pelik