Pelatih dakwa kena belasah



KUALA LUMPUR: Dua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendakwa sakit belakang dan sesak nafas selepas dibelasah dua pelatih lain dalam dua kejadian berasingan selang 15 minit di asrama mereka di Alor Gajah, Melaka, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian bermula jam 2.15 pagi itu, dua pelatih terbabit iaitu Yap Chun Jen dan Chew Chee Yong, 18, mendakwa ditumbuk dan ditendang di perut, kaki dan belakang badan oleh dua pelatih terbabit yang datang menemui mereka dengan membawa sekumpulan pelatih lain.


Menurut Yap yang berasal dari Puchong, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum didatangi sekumpulan 20 pelatih mengejutkannya dan seorang daripada mereka mengarahkannya keluar untuk berbincang berikutan itu hari terakhir mereka menjalani latihan.

“Takut dikelilingi pelatih saya hanya menurut, namun sejurus selepas menjejakkan kaki keluar pintu asrama, mereka menumbuk tepat di perut serta menendang kaki saya.


“Pelatih itu kemudian menyuruh saya memukulnya semula dan selepas saya berbuat demikian, dia terus memukul di belakang badan pula,” katanya ketika membuat sidang media di Kepong, di sini, semalam.


Yap berkata, dia dibelasah akibat perselisihan faham yang berlaku antara mereka semasa permulaan program, Januari lalu.

Dalam kejadian kedua yang berlaku 15 minit selepas itu, Chew mendakwa diserang di bilik asramanya oleh seorang pelatih yang menuduhnya pernah menumpahkan air.


“Saya tidak pernah menumpahkan air dan sepatutnya, pada hari akhir latihan, pelatih lebih bijak dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham, bukannya menghukum dengan cara ini,” katanya.

Jurulatih yang menerima aduan mangsa kemudian membawa mangsa membuat pemeriksaan doktor di Hospital Alor Gajah (HAG) sebelum dibawa ke Balai Polis Simpang Ampat oleh ibu bapa masing-masing untuk membuat laporan polis. Sementara itu, Ketua Pasukan Petugas MCA Kepong, Tan Kok Eng berkata, MCA akan berhubung terus dengan PLKN, untuk mendapatkan penjelasan bagaimana perkara itu boleh berlaku serta akan membuat susulan dengan polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.


Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan telah mengarahkan pengurusan PLKN Alor Gajah membuat laporan penuh kejadian itu.


Designed By Asal Pelik