Polis diserang dengan lastik


polis-memeriksa-motosikal-yang-dirampas-(Read-Only)
TERAP - Empat lelaki warga asing berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berikutan memiliki motosikal curi di sebuah estet kelapa sawit di Batu 10 kira-kira jam 2 petang semalam.

Polis turut menemui tujuh motosikal dan ada di antaranya dilaporkan hilang di sekitar Kulim dan Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis mendapat maklumat tentang kes motosikal curi di lokasi kejadian melalui maklumat orang ramai dan membuat pemantauan sejak lima hari lalu.

“Ketika pihak kami ke lokasi berkenaan, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan melalui jalan berlopak kira-kira 20 kilometer.

“Kenderaan kami tiba-tiba diserang hendap oleh beberapa suspek dengan menggunakan lastik.

“Satu daripada kenderaan kami pecah cermin di bahagian kiri hadapan sebelum terbabas dan merempuh pokok. Kenderaan itu kemek di bahagian hadapan kanan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan.

“Kebanyakan motosikal yang digunakan oleh pekerja estet terdiri daripada motosikal curi kerana ia dijual dengan harga di antara RM300 seunit.

“Semua suspek telah ditahan dan akan disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya


Designed By Asal Pelik