SBPA: Najib nafi tak bincang dengan Cuepacs


Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Cuepacs dalam merangka Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perdana Menteri memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan telah mengadakan forum perbincangan bersama Cuepacs dan wakil persatuan itu melalui tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

"Mesyuarat tidak berkala lain juga diadakan antara pegawai tertinggi kerajaan dengan ahli Majlis Tertinggi Cuepacs. Kerajaan juga menerima memorandum daripada Cuepacs dengan tuntutan tertentu yang telah dikaji dan diambil kira dalam penggubalan SBPA.

"Sepanjang 2011, sebanyak 13 mesyuarat utama bersama Cuepacs diadakan merangkumi mesyuarat dengan MBK, taklimat pada Ahli Majlis Tertinggi Cuepacs dan siri perjumpaan bersama Cuepacs yang membawa kepada termeterainya memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan SBPA antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs yang ditandatangani pada 28 Dis 2011," katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak memanggil Cuepacs untuk berbincang mengenai pelaksanaan SBPA dan pendirian kerajaan terhadap tuntutan-tuntutan Cuepacs.

Sesi soal jawab kemudian bertukar kecoh apabila Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mengemukakan soalan tambahan mengenai status 36 pegawai dalam Kumpulan Primier yang telah menerima ganjaran gaji dan pencen mengikut SBPA sejak 1 Januari lepas.

Menjawab soalan itu, Perdana Menteri berkata: "Nampaknya ahli yang berhormat berkenaan nak jadi juara kepada 36 orang ini. Kerajaan kita nak jadi juara kepada 1.4 juta penjawat awam."
Jawapan itu menyebabkan Mahfuz dan beberapa anggota pembangkang lain termasuk  Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) tidak berpuas hati.
Perang mulut dihentikan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia masuk campur dan menegaskan mana-mana menteri boleh memilih untuk menjawab atau tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Jumaat lepas, sumber JPA memberitahu Bernama jabatan itu dijadual bermesyuarat minggu ini untuk mencari mekanisme yang bersesuaian bagi menyelesaikan isu penjawat awam dan pesara yang sudah memperoleh bayaran gaji dan pencen mengikut SBPA.

Pada 8 Mac, Najib mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus berkuatkuasa 1 Januari tahun ini.


Designed By Asal Pelik