Sokong Israel, Dapatkan Dana Untuk PRU-13

Anwar Sokong Israel, Dapatkan Dana Untuk PRU-13

KUALA LUMPUR – Keengganan penasihat Parti Pembangkang, PKR untuk menarik balik kenyataannya menerusi satu wawancara dalam Wall Street Journal yang yakin menyokong segala usaha bagi melindungi keselamatan negara Israel pada 26 Januari lalu benar-benar menimbulkan persoalan di kalangan rakyat Malaysia.

Di dewan parlimen semalam hangat dengan isu ini apabila Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang membacakan kenyataan Anwar berhubung isu mempertahankan Israel hinggakan berlakunya pertikaman lidah diantara mereka dengan anak perempuan penasihat PKR, Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Namun, rata- rata orang ramai sudah dapat mengagak tindakan dan sokongan telus yang diberikan Anwar kepada Israel hanyalah mainan dan senjata strategik yang digunakan olehnya bagi mendapatkan dana untuk menghadapi Pilihan Raya 13 (PRU13).
Perkara ini langsung tidak disangkal oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan, Lokman Noor Adam yang percaya tindakan Anwar itu bermotifkan meraih sokongan kewangan dari negara Yahudi untuk melancarkan misinya dalam menjayakan manifesto PRU13 nanti.

“Persoalan besar sekarang, kenapa Anwar menyokong Israel? Saya percaya ini ada kaitan dengan tujuan untuk mendapatkan dana dan sumber kewangan untuk dia menghadapi PRU13 nanti sama seperti yang dilakukan dalam pilihan raya pada tahun 2003 dan 2004 dahulu sebelum saya dipecat dari menjadi AMK,” kata Lokman.

Lokman berkata, tindakan Anwar itu sudah dirancang olehnya sendiri kerana setelah dia banyak dilanda dengan kontroversi seperti kes liwat, kes melakukan hubungan seks serta menyokong Israel dalam misi pengeboman Gaza, penasihat PKR itu sudah tidak mempunyai sokongan padu dari pengikut-pengikutnya sendiri melainkan mendapatkan sokongan dari kuasa asing.

“Ini jelas terbukti kerana pembangkang masih lagi kekal ‘hidup’ hari ini adalah atas sumbangan dari Israel sendiri kerana semakin hari semakin sedikit jumlah pengikutnya. Sebelum ini, dalam parti dia sendiri, terdapat 32 orang yang sentiasa berdiri kukuh untuk menyokongnya tetapi tidak sekarang, yang hanya tinggal empat orang sahaja termasuklah isterinya, Azmin Ali dan Nurul Izzah,” katanya.

Lokman juga menyatakan kesal dengan tindakan Anwar yang berani mencipta ‘peluru’ sendiri hinggakan menggadai maruah kepimpinan Malaysia yang seterusnya memberikan imej buruk kepada partinya sendiri.
“Kalau kita lihat sekarang, Keadilan sekarang adalah parti anak-beranak. Dipimpin oleh orang-orang yang terdekat dengan dia dan tiada orang lain sebab sesiapa yang dahulu berkerja dengan dia, semua ‘cabut lari’ sebab sudah tidak yakin dengan kebolehan dia untuk memimpin dengan adil. Malah, ahli-ahli parti PAS juga semakin goyah dengan keyakinan mereka sendiri untuk terus menyokong Anwar selepas dia mencipta kontroversi dengan kes seksnya. Orang yang pernah berada rapat dengan Anwar sahaja akan tahu ‘perangai’ sebenar dirinya walaupun luarannya nampak terbaik,” Lokman menambah.

Bagaimanapun, Anwar masih lagi disokong oleh parti PAS yang dipimpin oleh Nik Aziz yang tiada segan turut menyokong kenyataan Anwar dalam melindungi keselamatan negara Yahudi itu untuk berkongsi sumber kewangan yang diberikan oleh pihak Israel.

“Saya sangat kecewa apabila Nik Aziz mengeluarkan kenyataan menyokong segala tindakan Anwar kerana pada pengetahuan saya, Anwar dan Nik Aziz telah mengadakan satu perjumpaan rahsia yang membincangkan hal ini di Kuala Lumpur tahun lalu. Selepas itu, Nik Aziz hanya mengunci mulutnya sendiri kerana ‘gembira’ diberikan duit yang disalurkan oleh Israel,” katanya.

Malah, Lokman juga turut mempersoalkan juga kredibiliti pemimpin-pemimpin parti PAS yang selama ini terlalu taksub untuk memperjuangkan pemahaman mereka untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam walhal parti itu sudah pun lari dari matlamat mereka yang sepatutnya membawa arus keIslaman.

Lokman juga turut menambah, segala janji-janji PAS untuk membangungkan negeri-negeri mereka sebagai sebuah negeri Islam juga hanyalah tipuan belaka sehingga ke hari ini tiada pencapaian atau sebarang yang dilihat.

“Contoh, negeri Kelantan adalah negeri yang ramai penduduknya miskin. Tetapi mereka tidak dibantu oleh PAS. Sebaliknya kerajaan kita yang bersungguh-sungguh memberikan bantuan kepada mereka melalui skim BR1M. Jadi, di sini kita boleh persoalkan balik inikah perjalanan usaha mereka untuk membangunkan sebuah negara Islam yang terbaik sedangkan mereka sudah tidak tahu caranya?,” katanya.

Lokman juga turut menjangkakan pilihan raya akan datang adalah sangat sengit berikutan parti pembangkang masih lagi mencuba untuk memberikan dan mencipta kontroversi serta fitnah untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan.

“PRU13 nanti saya jangkakan akan sengit tetapi saya yakin, PKR akan hilang separuh kerusi yang dipertandingkan di kawasan Melayu dan PAS juga akan hilang separuh kerusi mereka,” kata Exco Pemuda UMNO Malaysia itu.


Designed By Asal Pelik