Suspek kes bunuh Dirang akan didakwa


Keluarga usaha cari Dirang, mula tampal poster
PASIR GUDANG - Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis sedang berusaha menyiapkan kertas siasatan kes bunuh dan bakar kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah, 5, secepat mungkin bagi membolehkan suspek kes itu dihadapkan ke mahkamah dengan segera.

Beliau berkata polis sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada Jabatan Kimia untuk menyiapkan kertas siasatan itu sebelum dikemukakan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan.

"Saya telahpun mengarahkan timbalan saya Datuk Ismail Yatim yang mempengerusikan pasukan khas bagi menyiasat kes ini untuk siapkan kertas siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini.

Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Katanya tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi.

Dalam kunjungan yang turut disertai oleh isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam itu, Mohd Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian tragis dan menyayat hati itu.
 Beliau berkata kejadian itu harus dijadikan iktibar dan masyarakat digesa supaya mengawasi anak-anak supaya tidak terdedah kepada ancaman keselamatan.

"Saya juga minta masyarakat berwaspada jika terlihat karektor mencurigakan," katanya.

Mengenai panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima oleh ibu mangsa, Roselyn Alan, 25 daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan semalam, Mohd Mokhtar berkata pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.

"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya.

Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya.


Designed By Asal Pelik