Pelayaran kapal peranginan Azamara Quest dibatal

Kapal peranginan MZ Azamara Quest, yang mengalami kebakaran enjin ketika di perairan Filipina Jumaat
SANDAKAN - Pelayaran kapal peranginan MZ Azamara Quest yang mengalami kebakaran enjin ketika di perairan Filipina Jumaat lepas dan kini berlabuh di Karamunting di sini telah dibatalkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Azamara Club Cruises, Larry Pimentel berkata penumpang mempunyai pilihan sama ada tinggal di atas kapal atau menginap di hotel di sini sebelum meneruskan percutian mereka.

Kerosakan pada bahagian enjin kapal menyebabkan pelayaran ini tidak dapat diteruskan, katanya menerusi laman sosial Facebook Azamara Club Cruises.

Pimentel yang dijadual tiba di sini hari ini untuk menemui penumpang dan kru kapal itu, juga mengesahkan seorang anak kapal kini dirawat di Hospital Duchess of Kent di sini selepas mengalami kecederaan serius ketika kejadian tersebut.

Kapal itu yang membawa 560 penumpang dan 411 kru dalam perjalanan dari Hong Kong ke Singapura sebelum mengalami kebakaran pada bilik enjin kira-kira 180 batu nautika dari selatan Palawan, Filipina.

Susulan kejadian tersebut, kapal berkenaan terpaksa belayar dengan sebuah enjin sahaja dan berlabuh di sini pada 9.23 malam tadi. - Bernama

Sumber


Designed By Asal Pelik