Saya bukan kepala batu – Rita Rudaini



AMARAN gelombang tsunami yang dikhabarkan melanda utara negara tanah air dan negara jiran pada Rabu lalu seiring dengan berita kegoyahan rumah tangga Rita Rudaini apabila suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak nekad bercerai hidup dengan pelakon berkenaan.

Biarpun perit, perkhabaran paling ditakuti golongan isteri itu diterima secara terbuka setelah Rita tidak terdaya melawan gelora ombak kali ketiga terbesar sepanjang melayari bahtera hidup bersama pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sejak empat tahun lalu.

Begitu juga keadaannya tatkala didakwa segelintir pihak menjadi punca perceraian apabila dia dikatakan seorang keras kepala dan kerana lewat menghulurkan salam kemaafan dengan keluarga mentua.

Menjawab persoalan tersebut menyebabkan anak kelahiran Perlis ini terus menggelengkan kepala, petanda tidak bersetuju dengan tanggapan liar ditujukan terhadapnya.

“Beritahu saya, keras kepala dari segi apa? Saya dan keluarga mentua dah berjumpa, dah minta maaf dan buang semua yang keruh dan ambil yang jernih. Dah selesai semua.

“Saya akui pernah berjumpa (keluarga mentua) masa mengandungkan anak (kedua) saya tujuh bulan. Dan masa saya melahirkan anak pun, mak mentua saya ada di hospital. Jadi kenapa kata saya keras kepala,?” soalnya kesal.

Turut menafikan dakwaan tidak berasas mengatakan dia bermasalah dengan suaminya. Tegasnya penuh berpendirian: “Saya tak ada masalah dengan Aidil. Saya tak pernah bergaduh benda-benda besar macam perempuan ke, curang ke, tak ada.”

Pemegang gelaran Ratu Telefilem TV Melayu sejak 2005 itu juga tidak mahu mengulas panjang andai ada pihak mengatakan masalah campur tangan keluarga mentua menjadi punca perceraiannya.

“Saya tak nak cakap apa-apa. Hanya Tuhan yang tahu segalanya dan boleh balas semuanya. Kebenaran bagi saya akan terbukti jua dan Tuhan tak akan tutup keburukan itu terlalu lama,” katanya penuh makna selepas meraikan ulang tahun ke-36 di ibu kota, Rabu lalu.

Berita cerai pelakon drama Rafflesia itu menjadi tajuk utama akhbar Utusan Malaysia apabila Rita sendiri mengesahkan menerima berita sahih bahawa Aidil sudah pun membuat permohonan untuk bercerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Proses permohonan cerai tersebut disampaikan menerusi peguam Aidil kepada peguam Rita, Datuk Zaidi Zain pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, mengajukan persoalan sama ada Rita menyesal dengan perceraian kali kedua dalam hidupnya itu, pelakon drama Iris di TV3 itu menundukkan wajah sebelum berkata: “Tentu sekali tidak. Saya perlukan lelaki yang tegas untuk melindungi saya dan anak-anak. Walau apa pun yang terjadi atau masalah yang timbul, saya nak lelaki matang, tegas dan tak lari daripada masalah.

“Tapi bila ada benda terjadi (perselisihan), saya dan anak ditinggalkan. Seorang suami kena kuat, tapi kenapa saya pula yang jadi mummy dan daddy buat anak-anak saya (bila ditinggalkan). Padahal, semua isteri perlukan perlindungan, kasih sayang daripada seorang suami dan bapa pada anak-anak,” tambahnya lagi.

Kenyataan penuh kecewa itu mendorong pertanyaan apakah tidak ada sekelumit rasa cinta dan mahu mempertahankan rumah tangga sepanjang empat tahun berkahwin dengan Aidil?

“Apa yang saya boleh cakap, mungkin bahagia itu ada, tapi boleh dikira dengan jari, tapi saya bertahan sebab saya nak yang terbaik, bukan untuk saya tetapi untuk anak-anak.

“Kalau benar perceraian itu adalah takdir hidup saya, saya reda, bersyukur dan tak nak menyesal. Terima kasih atas segala-galanya buat Aidil, beri saya dua cahaya mata.

“Saya tak nak bersedih sebab sampai sekarang anak-anak masih di sisi dan merekalah kekuatan dan kebahagiaan saya. Saya nak anak-anak lebih bahagia dan tiada lagi masalah seperti sebelum ini sebab mereka adalah tumpuan saya.

“Saya nak cari rezeki dan besarkan anak-anak dan saya berdoa tak ada siapa boleh pisahkan saya dengan anak-anak. Hanya Tuhan saja boleh pisahkan kami dan saya tak nak menangisi masa silam sebab saya susah nak menangis dan tak suka menangis,” katanya hiba.

Adakah pelakon filem Mami Jarum ini bersedia untuk menempuh kehidupan mendatang sebagai ibu tunggal beranak dua, Rita sebak sebelum berkata: “Alhamdulillah, saya masih boleh bertahan sejak hari pertama berkahwin sampai ke hari ini.

“Jujurnya, saya berkahwin sebab rasa cinta, bukan sebab harta. Saya bukan jenis memilih duit, tapi bila dah berkahwin dan jadi begini saya sedih. Duit boleh dicari tapi kasih sayang tidak boleh dijual beli,” katanya berkias.


Sumber


Designed By Asal Pelik