Suu Kyi menang jadi wakil rakyat


SUU KYI melawat sebuah pusat pengundian di Kawhmu, Myanmar semalam.



YANGON - Para penyokong pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi bersorak gembira semalam selepas partinya mengumumkan beliau memenangi kerusi Parlimen bagi kawasan Kawhmu dalam satu pilihan raya kecil.

Kemenangan tersebut menandakan satu kejayaan besar negara yang terletak di Asia Tenggara itu kerana pihak tentera telah memerintah secara eksklusif selama setengah abad.
Ia juga sebagai hadiah terbesar terhadap kerjaya politik Suu Kyi yang berusia 66 tahun dan pencapaian yang membanggakan bagi pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.

Beliau pernah ditahan di rumah di tepi sebuah tasik oleh junta tentera.
Kemenangan itu telah dipaparkan pada skrin digital pembangkang Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi yang dianggotai Suu Kyi di ibu pejabat parti tersebut di Yangon.

Di bandar ini, lebih 1,000 penyokong menjerit apabila mengetahui berita itu.
"Kita menang! Kita menang"! jerit penyokong-penyokongnya dan turut bertepuk tangan, menari, mengibar bendera parti dan memberi isyarat kemenangan dan kata-kata pujian.

Keputusan tersebut perlu disahkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar.
Bagaimanapun, selagi masih belum ada keputusan, semua pihak tidak boleh membuat pengisytiharan secara rasmi tentang kemenangan tesrebut.

Pilhan raya kecil itu diadakan bagi memilih 45 wakil rakyat baharu. - Agensi

Sumber


Designed By Asal Pelik