Lagu Native Deen ketengah isu umat Islam di AS


Dari-kiri_-Joshua,-Abdul-Malik-dan-Naeem-gembira-berkunjung-ke-Malaysia
Rasanya ramai sedia maklum akan kedatangan kumpulan nasyid terkenal Amerika Syarikat (AS), Native Deen ke Malaysia sempena persembahan ‘My Faith My Voice’ di Pusat Aktiviti Budaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), jam 8 malam, Sabtu ini.

Biarpun nama Native Deen kedengaran agak janggal di sini, hakikatnya kumpulan dianggotai tiga pemuda Afrika-Amerika, Joshua Salaam, Abdul-Malik Ahmad dan Naeem Muhammad ini punya pengaruh besar di negara asal mereka.

Menelusuri sejarah pembabitan Native Deen, menurut Abdul-Malik, mereka saling mengenali sejak 1994 sebelum menubuhkan sebuah kumpulan pada 2000.

“Ketika berkenalan lapan belas tahun lalu, kami asalnya bergerak secara individu dan sering bertemu di majlis-majlis komuniti.

“Bersandarkan matlamat yang sama iaitu mahu menyebarkan mesej yang menaikkan semangat Islam, kami sepakat bergabung sebagai Native Deen pada 2000,” katanya.

Bergerak sebagai kumpulan nasyid, Native Deen tidak ketinggalan menyelitkan elemen hip hop dan R&B dalam muzik mereka sebagai satu kelainan.

Menurut Naeem, biarpun menyedari mereka merupakan sebahagian kaum minoriti di AS, ia tidak menjadi penghalang buat Native Deen meneruskan perjuangan mereka.

Malah, melalui lagu mereka, Native Deen sering mengetengahkan isu dihadapi umat Islam yang tinggal di AS.

“Perjalanan kami tidak terlalu sukar mungkin kerana kelainan dibawa membuatkan kami lebih mudah diterima oleh masyarakat bukan Islam.

“Komuniti Islam di AS juga sangat menyokong dan kami berbangga menjadi perintis kepada kemunculan lebih banyak kumpulan nasyid di sana,” katanya.

Sudah menghasilkan tiga album iaitu Deen You Know, Not Afraid to Stand Alone dan The Remedy, Joshua berkata, setiap satunya mengandungi mesej tersendiri untuk disampaikan.

“Kami sifatkan muzik Native Deen sebagai panggilan untuk pendengar agar memelihara iman, dalam menjalani kehidupan tidak tunduk kepada tekanan dan godaan kehidupan moden.

“Kami gembira seandainya lagu kami mampu memberi inspirasi kepada pendengar untuk lebih mendekati Islam,” katanya.

Uniknya, kumpulan ini tidak menggunakan alat muzik jenis tiupan dan bertali sebaliknya menggunakan instrumen bunyi sintetik.


Suka budaya Malaysia

Memandangkan kunjungan mereka ke sini adalah buat julung kalinya dibawakan oleh Nizal.Com, penulis sempat bertanyakan pendapat mereka mengenai Malaysia.

Tanpa menyembunyikan rasa teruja, ketiga-tiga mereka mengakui amat tertarik dengan kepelbagaian budaya masyarakat tempatan.

“Malaysia adalah sebuah negara yang hebat dan kami kagum dengan masyarakat di sini yang berjaya mengekalkan keharmonian walaupun berbeza budaya.

“Meskipun ini merupakan kunjungan pertama, kami harap ia bukan yang terakhir kerana sudah tentu kami berharap akan menjejakkan kaki ke sini lagi,” kata Naeem.

Sudah menjelajah ke lebih 60 negara termasuk di Asia, Eropah dan Timur Tengah bagi mempromosikan muzik mereka, kunjungan mereka ke Malaysia menamatkan penantian peminat tempatan yang sudah lama menantikan kehadiran Native Deen.

“Kami agak terkejut kerana ramai peminat di Facebook berasal dari Malaysia walaupun nama kami tidak begitu terkenal di sini.

“Malah, sejak kebelakangan ini kami dapati sokongan peminat dari Malaysia, Indonesia dan Brunei semakin menunjukkan peningkatan.

“Kami anggap ini sebagai permulaan yang bagus untuk memperkenalkan muzik kami dan berharap peminat akan terus menyokong perjalanan kami,” katanya.

Menjanjikan persembahan yang bertenaga bertemakan, Reaffirming The Belief, Inspiring Good Deeds kumpulan ini akan diiringi tiga pemuzik terkenal.

Selain persembahan tersebut, Native Deen juga akan terlibat dalam siri bertemu peminat di pelbagai lokasi sebelum berlepas pulang 4 Mac ini.




Designed By Asal Pelik