Alunan muzik bergelora di AJL26

 Alunan muzik bergelora di AJL26

7 Jan – Kurang tiga minggu sahaja lagi menjelangnya Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-26. Sebanyak 12 buah lagu hasil nukilan dan garapan komposer serta penulis lirik tempatan telah berjaya masuk ke peringkat akhir dan bakal berentap di pentas AJL pada 29 Januari ini.

Diangkat sebagai acara tahunan berprestij, AJL tahun ini tampil berkonsep dan tema dengan suntikan elemen air. Selari dengan arus pembangunan dan prestasi industri muzik kita, irama dan alunan lagu bagaikan aliran air yang tidak pernah putus dan berubah mengikut perkembangan semasa di mana para penggiat muzik sentiasa mengambil iniasitif untuk mencuba elemen-elemen baru dalam berkarya.

Pada malam AJL26 nanti, persembahan akan diselang-selikan dengan grafik dan imej yang disusuli susunan muzik serta persembahan istimewa yang mampu memberikan impak mendalam kepada para finalis serta penonton.

Pertandingan akan dimulakan oleh Projek Pistol (Wanita Seluruh Dunia), Jaclyn Victor (Sedetik Lebih), Atilia & Monoloque (Kekanda Adinda), Yuna (Penakut), Suhaimi Mior Hassan/Ana Raffali/Altimet (Kalau Berpacaran),Najwa Latif (Cinta Muka Buku), Faizal Tahir (Karma), Alyah (Kisah Hati), Aizat (Sungai Lui), Yuna (Gadis Semasa), Hafiz (Awan Nano) dan diakhiri 3 Suara (Beribu Sesalan)

Bahang AJL ke-26 akan disemarakkan lagi dengan roadshow daripada barisan finalis seperti 3 Suara, Aizat, Alyah, Projek Pistol dan Hafiz di Plaza Angsana, Johor Bharu pada 8 Januari (Ahad) ini bermula jam 2.00 hingga 6.00 petang. Di samping itu, kumpulan Illusi dan Hazama juga akan turun padang bertemu peminat.
Malam berprestij AJL26 akan berlangsung pada 29 Januari 2012, secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil bermula jam 9.00 - 11.30 malam. Anda boleh mendapatkan tiket-tiket VIP yang eksklusif melalui Hot FM dan MyTV3 juga di Balai Pengawal, Sri Pentas, Bandar Utama.

Setelah lebih dua dekad sejak penganjurannya, AJL utuh dengan misi memartabatkan industri muzik tanahair terutamanya dengan memberi peenghormatan besar kepada komposer dan penulis lirik


Designed By Asal Pelik