Amaran Evra buat City


EVRA (tengah) yakin United memiliki kekuatan untuk mempertahankan trofi Liga Perdana England musim ini.


LONDON - Pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra menegaskan Manchester City boleh melupakan hasrat untuk meraih gelaran juara Liga Perdana England musim ini.
Kapten skuad The Red Devils itu berkata, trofi tersebut akan terus kekal di Old Trafford.
Evra yakin United sudah kembali pada prestasi sebenar dan pasukan itu akan diperkuatkan semula dengan kehadiran Phil Jones, Ashley Young dan Tom Cleverley yang terpaksa diketepikan sebelum ini kerana masalah kecederaan.

Skuad kendalian Alex Ferguson itu terus mengekalkan rentak kecemerlangan dengan menewaskan City 3-2 pada aksi pusingan ketiga Piala FA minggu lalu dan menang 3-0 ke atas Bolton Wanderers dalam aksi liga Sabtu lalu.

Kemenangan itu turut menyaksikan anak-anak buah Ferguson berkongsi 48 mata dengan City yang kekal selaku pendahulu carta liga apabila hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.
"Perlawanan dengan Bolton sangat penting buat kami (United) selepas kemenangan ke atas City bagi membuktikan yang kami kini sudah kembali pada tahap prestasi sebenar.
"Beberapa pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini sudah pulih dan ia pasti akan melonjakkan keyakinan kami.

"Ada juga pemain yang masih cedera namun apabila semuanya sudah pulih sepenuhnya, ia akan memberikan kekuatan kepada kami.
"Kami perlu fokus dalam menghadapi aksi seterusnya kerana kami mahu meraih gelaran juara liga," kata Evra.
Pada aksi menentang Bolton itu, pemain veteran United yang membuat penampilan semula selepas bersara, Paul Scholes ternyata mencuri tumpuan apabila meledak satu gol bagi membantu kemenangan skuad The Red Devils.

Selain Scholes, Michael Carrick dan Danny Welbeck masing-masing turut menjaringkan satu gol. - Agensi


Designed By Asal Pelik