Filem Bujang Telajak-Filem terakhir Fazura



Buat peminat pelakon terkenal, Fazura pastinya berita ini satu yang mengejutkan. Memang benar, filem “Bujang Telajak” akan menjadi buah tangan pertama dan terakhirnya untuk tahun 2012. Pelakon yang cukup popular menerusi filem Gol & Gincu itu berkata dia tidak hanya menolak tawaran berlakon filem, sebaliknya turut melakukan perkara yang sama terhadap bidang lain termasuk pengacaraan.

“Faz menolak tawaran tersebut hanya kerana watak-watak yang Faz terima tidak begitu menambat hati. Faz mahukan kelainan dan masih menunggu skrip yang mampu membuatkan Faz jatuh cinta kepadanya.” jelas Fazura yang sepatutnya membawakan watak yang digalas Lisa Surihani dalam filem Istanbul, Aku Datang.

Menolak anggapan pengundurannya dari layar televisyen mahu pun filem disebabkan hubungan cintanya dengan kerabat diraja, Faz menjelaskan ia adalah kemahuan ibunya sendiri.

“Sebenarnya ibu Faz sendiri yang tidak begitu suka Faz meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan. Lebih-lebih lagi usianya semakin meningkat dan amat sensitif apabila melihat dan membaca cerita-cerita yang tidak betul mengenai kerjaya Faz. Namun kerana minat, Faz masih meneruskannya.”

Walaupun demikian, impian untuk diberikan watak-watak mencabar seperti watak perempuan jahat masih disimpan. Mengulas lanjut tentang watak idamannya, Faz mahu mendalami apa yang berlegar dalam minda watak-watak sebegitu.


“Faz mahu mendalami apa yang sebenarnya berada dalam minda watak-watak sebegini. Itulah sebabnya Faz mahukan watak tersebut. Malangnya sehingga kini, Faz masih dibayangi dengan watak-watak yang sudah biasa Faz bawakan. Faz masih menerima watak seperti Intan Mastura (Pisau Cukur), Puteri (Gol & Gincu) dan yang terbaru Citra dalam Tahajjud Cinta.”

“Ada semacam satu trend, bila mereka nampak Faz mampu membawakan watak-watak tersebut, tawaran yang diterima seterusnya akan mengulang watak-watak lakonan Faz terdahulu. Faz mahukan kelainan.” tegasnya lagi.

Tahun lalu sahaja, Faz menerima dua watak perempuan bertudung, Tahajjud Cinta dan Kitab Cinta. Kedua-duanya diarahkan oleh pengarah hebat, Erma Fatima.

Fazura ditemui sewaktu tayangan media filem Bujang Telajak di GSC Signature, Mid Valley. Filem tersebut akan mula ditayangkan pada 19 Januari ini di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.



Sumber : www.mummynemo.com


Designed By Asal Pelik