Hina Mahkamah: Penulis Blog Dibicara 2 Mac

Hina Mahkamah: Penulis Blog Dibicara 2 Mac 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini Khamis menetapkan 2 Mac untuk perbicaraan kes menghina mahkamah melibatkan penulis blog Amizudin Ahmat yang disaman Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan demikian selepas Amizudin memohon penangguhan bagi memberinya masa melantik peguam dan membalas notis usul.
Terdahulu, Amizudin, 43, memaklumkan bahawa beliau tidak pernah menghilangkan diri dan bukan sengaja mengelakkan diri daripada menghadiri prosiding.
Katanya, tiada sebarang notis diserahkan kepadanya dan hanya mengetahui prosiding kes tersebut melalui akhbar.

Dakwaan Amizudin itu disangkal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, 70, kerana pihaknya telah ke rumah Amizudin beberapa kali namun gagal menemui beliau.
Pada 21 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Rais untuk memulakan prosiding menghina mahkamah kerana penulis blog tersebut telah melanggar sebahagian perintah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah Rais dalam blognya.
Perintah yang dikeluarkan Hakim Zabariah itu ialah susulan daripada keputusan saman fitnah pada 19 Julai tahun lalu yang difailkan Rais terhadap Amizudin.

Rais memenangi saman tersebut dan Amizudin diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada menteri itu.

Hakim Zabariah turut memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.
Pada 31 Jan 2011, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Dis 2010. – BERNAMA


Designed By Asal Pelik