Keputusan AirAsia X rasional


KEPUTUSAN yang dibuat syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X adalah keputusan rasional terutama yang membabitkan Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) yang disertai Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan AirAsia X, kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan.
Beliau berkata, keputusan itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada MAS untuk memberi tumpuan kepada laluan premiumnya di London dan Eropah.

“Ia juga adalah langkah yang bijak dilakukan oleh AirAsia X kerana selain dapat memfokus kepada laluan barunya, syarikat itu juga dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan mengukuhkan margin. “Bagaimanapun, dari segi perspektif syarikat ia dilihat sangat rasional, namun jika berbalik kepada pengguna ia agak membebankan kerana mereka tidak dapat lagi harga yang ditawarkan AirAsia X bagi penerbangan ke laluan yang ditutup itu,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.
Beliau turut mengulas mengenai nota penyelidikan yang dikeluarkan OSK Research Sdn Bhd semalam mengenai faedah yang bakal diraih daripada kenyataan AirAsia X bagi menutup laluannya ke Mumbai, New Delhi, London dan Paris.

OSK berkata, penarikan laluan berkenaan juga akan menjadi positif kepada MAS dan persaingan daripada satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah sudah tiada dan untuk itu ia membolehkan syarikat penerbangan nasional meningkatkan pendapatannya.

Bagaimanapun OSK berkata MAS akan terus berdepan dengan persaingan sengit daripada syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang terus menawarkan tambang menarik yang kompetitif walaupun MAS masih mempunyai kelebihan menawarkan penerbangan terus ke United Kingdom.


Dr Nazri berkata, walaupun AirAsia X menutup laluan ke Eropah dan India, tetapi syarikat itu dilihat memperkenalkan laluan baru ke Australia serta akan memberi tumpuan lebih kepada laluan sedia adanya.

“AirAsia X sudah pasti mempunyai rancangan yang lebih baik apabila mengambil keputusan menutup laluan terbabit dan ia juga mampu merancakkan lagi industri pengangkutan udara.
“Bagi saya, lebih elok jika AirAsia X memfokus kepada perkhidmatan tambang rendahnya dan MAS memberi tumpuan kepada segmen premium,” katanya yang yakin MAS akan menggunakan peluang sebaik mungkin bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna berikutan keputusan AirAsia X itu.


Designed By Asal Pelik