Mancini di hati

MARIO Balotelli

MARIO Balotelli berkata dia percaya Roberto Mancini adalah pengurus yang lebih baik berbanding Jose Mourinho. Kedua-duanya menyumbang pengaruh besar dalam karier pemain berusia 21 tahun itu apabila Mancini membimbingnya sewaktu di Inter Milan dan kini di Manchester City manakala Mourinho di antara kedua-duanya.

Biarpun perwatakan peliknya ada kalanya mencetus hubungan tegang dengan kedua-dua pengurus hebat itu, pemain itu gembira de�ngan cara kedua-dua mereka membantu memajukan dirinya.

Begitupun ketika diminta memilih satu di antara mereka, penyerang itu memilih Mancini, yang sentiasa memberi peluang kepadanya ketika yang lain mengecamnya dengan teruk.

“Mourinho? Antara yang terbaik,” katanya kepada majalah L’Uomo Vogue. “Dari segi peribadi, saya akan dahulukan Mancini sebelum Mourinho. Seorang jurulatih perlu memastikan pemain beraksi 100 peratus dan Mancini melakukannya dengan cemerlang.”


Balotelli menafikan dakwaan bahawa dia akan kembali ke Itali. Bagaimanapun sebaik isu timbul, tidak kiralah apa tindakannya, akan menjadikannya mangsa kritikan.


Malah dalam hal itu, Balotelli menganggap media Itali jauh lebih kejam berbanding media Inggeris.

“Saya berusia 21 tahun dan sudah dua tahun meninggalkan kampung halaman,” katanya. “Saya berjaya menyesuaikan diri, biarpun berdepan kejutan budaya yang besar.

“Begitupun saya tidak mempunyai teman sejati di sini. Jika saya mahu berpindah sekarang, sudah pasti saya memilih Itali,” katanya.

“Jika saya membeli Fiat Uno, orang akan katakan saya lebih sesuai membeli Ferrari. Jika saya membeli Ferrari, orang akan katakan saya sepatutnya merendah diri dan membeli Uni. Jika saya ketawa, saya dikatakan tidak serius dan jika saya tidak ketawa, saya dikatakan seorang lelaki kaya yang sentiasa murung dan tidak menyukai kerja terbaik di dunia.

“Di England, akhbar tabloid menulis mengenai segala-galanya dan sentiasa diperbesarkan tetapi perkara yang lebih memberi masalah adalah di Itali apabila tabloid melaporkan perkara mengarut tanpa satu pun kebenaran.”

City perlu bangkit apabila menentang Wigan, Selasa depan selepas tewas kepada Liverpool di perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga, kelmarin.

Sebelum itu, penyerang itu menolak laporan mengaitkannya dengan perpindahan ke AC Milan.

“Akhbar melaporkan saya mahu meninggalkan Manchester tetapi saya tidak pernah berkata kepada mereka. Mereka boleh katakan apa mereka mahu tetapi saya masih berada di Manchester, saya masih mempunyai kontrak bersama City dan sehingga masanya tiba, saya tidak akan bercakap mengenai kontrak baru.”

Pemain itu terikat dengan City sehingga Jun 2015 dan tidak berniat meninggalkan kelab itu dalam masa terdekat.

“Liga Perdana Inggeris memberi pengalaman baru dalam hidup saya, meskipun pada mulanya ia begitu sukar tetapi jika saya perlu menceritakan yang benar sekarang, saya benar-benar gembira berada di sini.”



Designed By Asal Pelik