"Pecah" tak tiru!

"Pecah" tak tiru!

7 Jan - Bagaikan ikutan, sebuah lagi filem terbitan Fixi yang masih dalam pembikinan telah diadaptasi daripada novel.
"Pecah" yang diadaptasi daripada novel karya Khairulnizam Bakeri bakal diangkat ke layar perak dan selaku pengarah filem, Black atau nama sebenarnya Asrulhisyam Ahmad menjawab ia tidak berkaitan dengan ikutan hatta inginkan populariti.

"Kita langsung tidak mengikut atau ingin meniru sepert filem "Ombak Rindu" atau "Lagenda Budak Setan". Ini kerana perbincangan telah dibuat lebih awal daripada penayangan "Ombak Rindu" iaitu sekitar April 2011. Selepas mendapat kata persetujuan, baru pihak kami tahu Tarantella Pictures telah pun membawa filem yang diadaptasi daripada novel ke layar perak."

"Pihak kami tertarik dengan jalan cerita yang segar dan kontemporari serta berbeza daripada yang lain. Ia merangkumi setiap aspek iaitu cinta, komedi dan juga seram. Ini merupakan karya terbaik pernah dihasilkan oleh Fixi dan merupakan karya sulung penulis. Faktor ini dijangka mampu membawa filem pergi lebih jauh lagi," ujar Black lagi.

Penggambaran filem ini telah bermula pada Disember tahun lalu dan dijangka berakhir dalam tempoh 20 hari iaitu sekitar bulan Januari 2012. Antara lokasi yang terpilih untuk penggambaran "Pecah" adalah sekitar Lembah Klang, Pasir Gudang dan juga Shah Alam.

"Pecah" dibintangi oleh pelakon baru yang sedang meningkat naik, Izreen Azminda bersama Tony Eusoff dan Sofi Jikan dan dijangka menemui penonton penghujung tahun ini atau awal 2013.


Designed By Asal Pelik