Ahmad Aznaim Bertuah Bakal Miliki Ana Raffali

Ahmad Aznaim Bertuah Bakal Miliki Ana Raffali

KUALA LUMPUR – Sekalung tahniah penulis ucapkan kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu Kalau Berpacaran, Ana Raffali, yang akan mengakhiri zaman anak daranya pada 25 February ini bersama pasangannya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30.

Lebih menarik lagi apabila Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 27, membuat persiapan awal dengan memakai tudung sebelum bernikah sekaligus tidak membebankan bakal suaminya itu dengan ‘dosa pertama’ di hari perkahwinan mereka nanti.

Apa yang penulis maksudkan dengan ‘dosa pertama’ itu adalah mengenai dosa isteri yang terpaksa ditanggung suami atas kecuaiannya mendidik pasangannya untuk menutup aurat.
Menurut Islam, meskipun dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa setiap individu, termasuk isteri, bertanggungjawab terhadap dosa masing-masing, adalah berdosa kepada suaminya sekiranya membiarkan isterinya melanggar ketetapan syarak dan tidak melarangnya dari berbuat demikian.
Ia termasuklah membiarkan isteri mendedahkan aurat dikhalayak ramai di mana ia mampu menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap ‘masjid yang baru dibina’ mereka itu.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran;
“Wahai orang-orang yg beriman! Jagalah dirimu dan ahlimu (yakni, isteri dan anak-anak serta cucu cicitkamu) dari api neraka …” surah At-Tahrim, ayat 6.

Justeru itu,tidak mengira siapa sama ada artis atau tidak, asalkan umat Islam, selesai saja pengantin lelaki itu melafazkan lafaz nikah dan disahkan oleh kadi yang bertugas maka dia secara automatik memikul tanggungjawab tersebut terhadap isterinya.
Rata-rata mengikut tinjauan penulis sebelum ini, ramai di kalangan artis dan selebriti tempatan yang gah mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran dan mewah.
Ramai juga yang mengadakan majlis yang glamor seperti majlis resepsi dengan karpet merah (red carpet) yang penuh sempena meraikan hari ‘raja berhari-hari’ mereka.

Malangnya, sesetengah dari golongan artis itu tidak menghiraukan soal etika aurat Islam apabila pengantin perempuan sering mengundang dosa kepada suaminya dengan pemakaian yang menjolok mata, terbelah dan terdedah di sana sini.

Tahun 2012 ini bakal menyaksikan ramai pasangan artis yang mengumumkan akan mengakhiri zaman bujang bersama pasangan masing-masing dan penulis faham bahawa mereka memang popular, hebat, memiliki wang yang banyak, glamor dan sebagainya.

Namun kita perlu ingat bahawa matlamat untuk memeriahkan hari penuh bermakna tersebut tidak menghalalkan cara untuk mereka ‘melaram’ dengan pakaian-pakaian seksi dan ‘menjulingkan’ mata umum.
Sekali lagi penulis mengucapkan sebesar-besar tahniah kepada Ana Raffali atas kejayaannya melakukan perubahan besar terhadap imej dirinya yang lebih diredhai Allah SWT dan menyedari tanggungjawab suaminya selepas berkahwin dengan meringankan beban tersebut.
Meskipun tidak dijemput ke majlis perkahwinannya, penulis tidaklah berkecil hati dan seikhlasnya mengucapkan ‘selamat pengantin baru dan semoga berkekalan hidayah dariNya hingga ke akhir hayat’, syabas! – Mynewshub.my



Designed By Asal Pelik