Wanita ditemui mati ditikam dalam kereta sendiri


MAYAT Chew Peng ditemui mati di dalam keretanya sendiri dipercayai dibunuh 
di Serdang Perdana, Serdang malam kelmarin.


SERDANG – Seorang pekerja swasta yang sepatutnya pulang untuk makan malam bersama keluarganya ditemui mati dibunuh di dalam keretanya sendiri di kawasan tempat letak kereta di Serdang Perdana di sini malam kelmarin.
Mangsa, Goh Chew Peng, 39, yang tidak pulang-pulang ke rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini selepas pukul 8 malam pada hari kejadian merisaukan ahli keluarganya dan mangsa gagal dihubungi melalui telefon bimbitnya.
Suami mangsa kemudiannya menelefon pejabat syarikat teknologi maklumat tempat isterinya bekerja sebagai pembantu peribadi itu dan memaklumkan apa yang berlaku.
Tidak lama selepas itu, isterinya ditemui oleh orang ramai mati di dalam kereta Honda City miliknya kira-kira pukul 9 malam.
Jarak di antara rumah mangsa dari tempat kejadian kira-kira 12 kilometer.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superitendan Abdul Razak Elias berkata, ketika ditemui, kereta mangsa tidak berkunci dan mangsa berada di tempat duduk pemandu.
Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kecederaan akibat tikaman di leher selain kesan jerut.
“Kita percaya mangsa telah dibunuh di dalam keretanya kira-kira pukul 8 malam,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Setakat ini, menurutnya, polis masih lagi menyiasat motif sebenar kejadian bagaimanapun barangan seperti dompet, telefon bimbit dan jam tangan milik mangsa tiada.
Polis menemui sebilah pisau di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Designed By Asal Pelik