Wanita India Lari Dari Rumah Disebabkan Tandas

Narre Cetus Revolusi Tandas Di India

India – Tindakan seorang wanita yang meninggalkan rumah keluarga suaminya selepas beberapa hari berkahwin kerana rumah berkenaan tidak mempunyai tandas, telah diberikan ganjaran sebanyak AS$10,000 oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sulabh International.

Keputusan tegas Anita Narre itu yang tidak mahu membuang air besar di tempat terbuka di sebuah kampung di Madhya Pradesh itu mendapat pujian kerana ia berjaya mencetuskan `revolusi penggunaan tandas’.
Malah tindakan Narre itu juga telah menyebabkan wanita di kampung berkenaan mendesak pasangan mereka membina tandas dan kini hasilnya, kampung tersebut telah berubah.

Menurut majistrate daerah berkenaan, B. Chadrasekhar, Narre meninggal rumah berkenaan pada bulan Mei tahun lalu dan dia hanya pulang ke rumah tersebut selepas pasangannya membina tandas dengan bantuan pegawai daerah.

Chandrasekhar berkata, sebelum ini kempen kebersihan yang ditawarkan termasuk membina tandas telah ditolak oleh penduduk kerana mereka menyifatkannya pembinaan tandas dalam rumah sebagai kotor.

“Namun Narre berjaya mengubah minda penduduk kampung dan kempen kebersihan tandas yang kami lakukan diteruskan semula.
“Ramai penduduk termasuk di kampung bersebelahan telah meminta kami membantu dan kami menjadikan kisah Narre sebagai contoh terbaik untuk memberikan pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai dalam menggunakan tandas,” katanya.

India mengalami kerugian kira-kira $54 bilion setahun disebabkan penyakit berkaitan kebersihan, hilang produktiviti dan faktor lain dengan golongan wanita merupakan paling teruk terjejas terutama di kawasan pedalaman.

Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2010 mendapati lebih ramai penduduk di India mempunyai akses kepada telefon bimbit berbanding tandas.


Designed By Asal Pelik