Anggota polis trafik maut dilanggar bas persiaran


Jenayah Allahyarham Ismayuddin dibawa keluar dari rumah untuk dikebumikan.
KULAIJAYA - Seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal maut selepas dilanggar sebuah bas persiaran ketika sedang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, semalam.

Kejadian jam 11.55 malam itu mengakibatkan mangsa, Kpl Ismayuddin Ismail, 50, yang bertugas di Cawangan Trafik di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Baharu Selatan Selatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian, Ismayuddin, yang sudah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 20 tahun lalu, sedang mengawal aliran keluar masuk kenderaan dari  Singapura-Johor Bahru.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, mangsa dilanggar sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura yang hilang kawalan di laluan bas di BSI.

“Kejadian ini berlaku di 200 meter dari pintu masuk BSI. Bas terbabit yang dipandu oleh seorang wanita itu pada mulanya melanggar sebuah kereta, penghadang jalan sebelum merempuh anggota ini seterusnya berhenti di kedudukan 150 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera parah akibat pelanggaran ini meninggal dunia di tempat kejadian ketika sedang bertugas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarah keluarga mangsa di Felda Taib Andak, di sini, hari ini.

Allahyarham Ismayuddin meninggalkan seorang balu, Norsiah Md Amin, 47, dan lima cahaya mata, Nur Farhana, 24; Nur Afiqah, 14, Nur Farzana, 11; Mohamad, 9,  dan Mohd Irsyad Fauzan, 8.


Sumber


Designed By Asal Pelik