Osama rancang bunuh Obama
osama laden
WASHINGTON - Pada hari-hari terakhir sebelum dibunuh oleh pasukan elit Amerika Syarikat (AS) di Pakistan Mei lalu, ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden didakwa telah merancang untuk membunuh Presiden Barack Obama dan satu lagi serangan terhadap bumi negara itu, demikian menurut satu laporan dikeluarkan di sini, hari ini.

AS memburu Osama sejak peristiwa 11 September 2001 dan ditembak mati di Pakistan awal Mei lalu.

"(Osama) Laden menulis memo-memo menggesa pengikut-pengikutnya agar cuba menyerang AS, mengesyorkan, sebagai contoh, agar mereka melancarkan serangan ke atas Presiden Obama dan Jeneral David Petraeus," tulis Penganalisis Keselamatan Kebangsaan CNN, Peter Bergan.
Pada ketika itu, Petraeus memegang jawatan panglima pasukan tentera Nato di Afghanistan.

"Dengan mencemuh (kepimpinannya), Osama menulis bahawa membunuh Obama akan membuka laluan kepada Naib Presiden Joe Biden mengambil alih jawatan presiden.

"Pemimpin Al-Qaeda berkata Biden secara total tidak bersedia untuk jawatan itu (presiden)," tulis Bergan lagi berdasarkan maklumat latar belakang diterima daripada pegawai-pegawai pentadbiran minggu ini, yang mempunyai akses kepada sejumlah dokumen yang diambil dari rumah yang dihuni Osama di Abbottabad.
Menurut mereka, Osama menulis memo setebal 48 halaman, yang ditujukan kepada timbalannya pada Oktober 2010, yang turut menggambarkan keadaan pertubuhan tersebut ketika itu.

Berdasarkan tulisan itu, Osama dilihat bimbang dengan masa depan tempat perlindungan Al-Qaea di Waziristan ekoran kempen ketenteraan AS berterusan, yang turut mengorbankan ramai orang kanannya.
Osama juga bimbang mengenai keselamatan anak lelakinya Hamza, 20, yang baru-baru ini dibebaskan dari tahanan rumah.

Malah, Osama juga mengarahkan timbalannya agar memberitahu anaknya supaya keluar dari Waziristan.
Osama dibunuh oleh anggota-anggota pasukan komando AS di Pakistan pada 2 Mei lalu selepas 10 tahun diburu.

Dia dituduh menjadi dalang serangan pengganas 11 September 2001 yang menyebabkan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) di New York runtuh.
Osama, 54, terbunuh dalam satu pertempuran dengan komando-komando AS di sebuah rumah mewah bernilai AS$1 juta (RM2.96 juta) yang menjadi tempat perlindungannya dekat bandar Abbotabad yang merupakan lokasi pelancongan, pusat pendidikan dan menempatkan Akademi Tentera Pakistan.

Rumah dua tingkat tersebut yang dikelilingi tembok tinggi dan kawat berduri terletak sekitar 100 meter dari akademi tentera Pakistan dan 60 kilometer dari Islamabad. Rumah itu dirobohkan baru-baru ini.


Designed By Asal Pelik