Israel: Kemenangan Trump matikan rundingan negara Palestin



PETALING JAYA: Era negara Palestin sudah berakhir dengan kemenangan calon Republican Donald Trump, kata Menteri Pendidikan Israel Naftali Bennet.

Menyambut pemilihan Trump sebagai bakal presiden Amerika Syarikat hari ini, Naftali menyeru rundingan penyelesaian 2 negara, yang mengusulkan penubuhan negara Palestin merdeka disamping negara Israel, dihentikan.

“Kemenangan Trump beri peluang kepada Israel untuk menarik balik tanggapan sebuah negara Palestin di tengah-tengah negara ini, yang akan menjejaskan keselamatan dan perjuangan kami,” kata Bennet, yang memimpin parti tegar Jewish Home.

Kenyataan beliau kepada AFP itu merujuk kepada Tebing Barat.
“Itulah pendirian bakal presiden…era negara Palestin sudah berakhir,” tegasnya.
Tinjaun sebelum ini mendapati sebahagian besar rakyat Israel dan Palestin menyokong penyelesaian 2 negara itu, yang mula diusulkan pada 1974.

Rundingan terbaharu 2013-2014 bagaimanapun kecundang apabila Israel meluaskan penempatan haram Israel di kawasan yang menjadi pertikaian antara rejim dan pihak berkuasa Palestin.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Ayelet Shaked dan Timbalan Menteri Luar Tzipi Hotovely menyeru Trump supaya menunaikan janji memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Warga Palestin mahu timur Baitulmaqdis menjadi ibu negara Palestin baharu, manakala warga Israel berpendirian seluruh kota suci itu ibu negara mereka.

Trump berikrar akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.


Designed By Asal Pelik